Saturday, November 17, 2012

Tip-tips Cara Rahsia Khusyuk Dalam Solat




Khusyuk dalam solat itu merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Allah Ta‘ala menggelar mereka sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”  
(Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
.
‘Khusyuk’ ialah hati sentiasa hidup, manakala khusyuk dalam solat adalah menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam solat. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benar bagi suatu solat. Hakikat zahirnya pula adalah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, rukuk, sujud, duduk dan sebagainya. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam:

الصَّلاَةُ مَثْنَى مَثْنَى تَشَهَّدُ فِي آُلِّ رَآْعَتَيْنِ وَتَخَشَّعُ وَتَضَرَّعُ وَتَمَسْكَنُ…… (رواه الترمذي)

“Solat itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyukan hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati……..” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
.
Melihat kepada kepentingan khusyuk dalam solat, maka dikemukakan di sini sebahagian tip atau panduan yang boleh diguna-pakai sebagai panduan ke arah perlaksanaan ibadat solat yang khusyuk.
Untuk mendapatkan khusyuk dalam solat hendaklah sentiasa membuat persediaan awal yang rapi dari aspek fizikal dan rohani. Persediaan tersebut sebenarnya bermula di luar solat, sebelum seorang itu mendirikan solat.
.
.

Tips Dan Panduan Khusyuk Solat


Perkara-perkara berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap mukmin bagi mengekalkan solat yang khusyuk:

.

1. SEBELUM MENDIRIKAN SOLAT:

.
i)  Menjaga makanan, minuman dan pemakaian.
Khusyuk itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda-benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan, minum, pakai, tempat tinggal dan lain-lain hendaklah datang dari punca dan sumber yang halal tanpa syubhah.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah ya dikatakan hati.”  (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
.
ii)  Membersihkan diri dan bersugi.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak solat.”(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 .
iii)  Wudhuk yang sempurna
Mengambil wudhuk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat. Sebab kesempurnaan solat juga terletak kepada kesempurnaan wudhuk.
Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan solat Subuh bersama Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam dan Baginda membaca surah ar-Ruum. Pada salah satu ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu apabila selesai solat Baginda bersabda: “Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang solat bersama kami tidak menyempurnakan wudhuk mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan solat bersama kami, maka sempurnakanlah wudhuknya.”  (Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)
Di samping itu sebahagian kelebihan wudhuk itu dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan. Saidina ‘Umar RadhiAllahu ‘anhu berkata: “Sesungguhnya wudhuk yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”
.
iv)  Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.
Ditegah bersolat dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.
.
v)  Jangan solat dalam keadaan lapar.
Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan solat.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim)
.
vi)  Jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “…dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim)
.
vii)  Pilih tempat solat yang menenangkan

Pilih tempat solat yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya. Termasuklah dengan memastikan telefon bimbit dimatikan sebelum solat.
Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan solat di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma: “Bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam menegah mendirikan solat pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.”  (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
.
iix)  Gunakan Sejadah Tidak Mengganggu
Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran. Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.
Diriwayatkan daripada Saidatuna ‘Aisyah RadhiAllahu ‘anha bahawa Nabi ShallAllahu ‘alaihi wasallam pernah mendirikan solat di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda bersabda: “Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadits riwayat Muslim)
.
ix)  Pastikan tiada gangguan
Tersebut dalam satu riwayat bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah RadhiAllahu ‘anhu: “Aku lupa untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang). Maka sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu orang yang solat.”  (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan mengenai riwayat di atas bahawa ianya memberi petunjuk akan galakan supaya menghindarkan atau menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyuk ketika mendirikan solat.
Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat solatnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.
.
x)  Solat Di Awal Waktu
Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.
.
.

2. KETIKA HENDAK MENUNAIKAN SOLAT

.
i)  Azan dan iqamah
Kumandangkan Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan solat bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
 .
ii)  Lakukan Solat Secara Berjemaah
Berusahalah melakukan solat secara berjemaah kerana iaadalah suatu tuntutan dan syi‘ar agama Islam. Selain pahala solat berjemaah itu melebihi solat seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang solat berjemaah itu akan memperolehi kekhusyukan ketika bersolat dan terselamat daripada perkara yang lagha dan boleh melalaikannya.
.
iii)  Menghadirkan Hati.
Maksudnya ialah sebelum mendirikan solat kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat solat yang dikerjakan.
Abu Darda’ RadhiAllahu ‘anhu berkata: “Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan solat supaya dia masuk ke dalam solat dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”
.
iii)  Mengingatkan Mati
Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat ingatkan diri bahawa kematian seolah-olah amat hampir dengan kita dan solat tersebut kemungkinan merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup kita dan perlulah dijadikan yang terbaik.
Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham RadhiAllahu ‘anhu bahawa ditanyakan kepadanya tentang solatnya, beliau beliau menjawab: “Apabila tiba waktu solat aku menyempurnakan wudhuk dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan solat. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan solatku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka solat ini adalah solatku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada solatku diterima atau tidak?”
.
iv)  Membaca Zikir
Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan.
Umpamanya seperti membaca:
a.)  Surah an-Nas
b.)  Ta‘awudz
c.)  Tahlil:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ

“Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”
d.)  Zikir:

امنا با الله و برسوله

 “Kami beriman dengan Allah dan rasul-rasulNya.”
.
v)  Berusaha Melawan Gangguan Syaitan
Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa solat. Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca. Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan solat syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya.”  (Hadits riwayat Muslim)
.
.

3. KETIKA MENUNAIKAN SOLAT

.
i)  Meneliti Dan Memahami Bacaan Solat
Meneliti bacaan-bacaan dalam solat, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain dari ayat-ayat al-Quran (tasbih dan takbir dan doa). Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam solat. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.
Membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah), berusaha untuk memahami dan mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan, terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.
.
ii)  Merendahkan Diri
Salurkan rasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam rukuk dan sujud serta dipanjangkan tempoh masa rukuk dan sujud.
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud.” (Hadis riwayat Muslim)
.
iii)  Mengagungkan Allah SWT
Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam solat. Timbulkan Rasa Malu (Haya’) iaituperasaan malu terhadap Allah SWT dan merasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.
.
iv)  Menghindari Dari Memikirkan Hal Keduniaan
Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.
.
v)  Tumpuan Penuh Pada Solat
Segala perhatian dalam solat itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali. Rukun-rukun solat perlu dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih) sambil menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memperhatikan solat itu.
.
vi)  Mengurangkan Pergerakan Anggota Badan
Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.
.
vii)  Sentiasa Melihat Tempat Sujud
Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta atau bersolat di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang solat itu dialihkan ke jari telunjuknya.
Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyuk dalam solat seseorang itu, maka dibolehkan dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.
.
iix)  Lakukan Solat Dengan Thuma’ninah
‘Thuma’ninah’ (ketenangan), maksudnya anggota seseorang itu tetap diam atau berhenti seketika ketika melakukan ssesuatu ‘rukun fi‘li’ (perbuatan) di dalam solat seperti rukuk, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir: “سبحان الله” (SubhanAllah).
Maknanya, setiap pergerakan di dalam solat itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, cepat-cepat atau dengan kelam-kabut tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.
.
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda Baginda: “Apabila kamu berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua solat kamu.”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
.
.

PENUTUP

Begitulah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah orang masih tidak mampu memperolehi khusyuk di dalam solatnya walaupun dengan mengamalkan bermacam-macam tip atau panduan.
Yang penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak memohon doa kepada Allah Ta‘ala supaya dikurniakan kepada kita hati yang bersih dan khusyu‘ dalam beribadat kepadaNya.
Orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah SWT:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ ﴿٤٥﴾ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿٤٦

“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”
(Surah Al-Baqarah : ayat 45-46).
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.

Read More...

50 Nasihat Luqman Al Hakim Kepada Anaknya




Luqman Al-Hakim mengajar anaknya ilmu yang datang dari sisi Allah Yang Maha Mengetahui. Beliau pernah berpesan dan menasihati anaknya:
.
1.  “Wahai anak kesayanganku! Allah SWT memerhatikan dirimu dalam kepekatan malam, semasa engkau bersolat atau tidur lena di belakang tabir di dalam istana. Dirikan solat dan jangan engkau berasa ragu untuk melakukan perkara makruh dan melempar jauh segala kejahatan dan kekejian.”
2.  “Wahai anakku! Selalulah berharap kepada Allah SWT tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah SWT. Takutlah kepada  Allah SWT dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah SWT.”
3.  “Wahai anak! janganlah engkau mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”
4.  “Wahai anakku, Bersyukurlah kepada Tuhanmu kerana kurniaan-Nya. Orang yang mulia tidak mengingkari Penciptanya kecuali orang yang kufur.”
5. “Wahai anakku! Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah seperti orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.”
 6.  “Wahai anakku! Ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Jika engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama TAKWA, isinya ialah IMAN dan Layarnya adalah TAWAKKAL kepada Allah SWT.”
7. “Wahai anakku! Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah SWT. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, maka dia akan sentiasa menerima kemulian dari Allah SWT juga.”
8.  “Wahai anakku! Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”
9.   “Wahai anakku! Jangan engkau berjalan sombong serta takbur, Allah SWT tidak meredai orang yang sombong dan takbur.”
10. “Wahai anakku! Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”
11.  “Wahai anakku! Bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”
12.  “Wahai anakku! Apabila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.”
13.  “Wahai anakku! Sesesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.”
14.  “Wahai anakku! Bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”
15.  “Wahai anakku! Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan hati, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, dan janganlah mensia-siakanhartamu.”
16.  “Wahai anakku! Sekiranya kamu di dalam solat, jagalah hatimu, sekiranya kamu makan, jagalah kerongkongmu, sekiranya kamu berada di rumah orang lain, jagalah kedua matamu dan sekiranya kamu berada di kalangan manusia, jagalah lidahmu.”
17.  “Wahai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, berusahalah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.”
18.  “Wahai anakku! Berdiam diri itu adalah hikmah (perbuatan yang bijak) sedangkan amat sedikit orang yang melakukannya.”
19.  “Wahai anakku! Janganlah engkau menghantarkan orang yang tidak cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.”
20. “Wahai anakku! Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”
21.  “Wahai anakku! Sesungguhnya orang bertalam dua muka bukan seorang yang jujur di sisi Allah SWT.”
22.  “Wahai anakku! Jauhilah bersifat dusta, sebab berbohong itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”
23. “Wahai anakku! Sesiapa yang berbohong hilanglah air mukanya dan sesiapa yang buruk akhlaknya banyaklah dukacitanya.”
24. “Wahai anakku! Bersabarlah di atas apa yang menimpa dirimu kerana yang demikian itu menuntut kepastian kukuh daripadamu dalam setiap kejadian dan urusan.”
25.  “Wahai anakku! Apabila engkau mempunyai dua pilihan di antara takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”
26. “Wahai anakku! Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada  anjing sahaja.”
27.  “Wahai anakku! Janganlah engkau terus menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.”
28. “Wahai anakku! Aku pernah makan makanan yang baik dan memeluk yang terbaik tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih lazat daripada kesihatan.”
29. “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk beribadat.”
30. “Wahai anakku! Apabila perutmu telah penuh sesak dengan makanan, maka akan tidurlah fikiranmu, menjadi lemah hikmahmu dan berhentilah (malas) seluruh anggota tubuhmu daripada beribadat kepada Allah SWT dan hilanglah kebersihan hati (jiwa) dan kehalusan pengertian, yang dengan sebab keduanyalah dapat diperoleh lazatnya munajat dan berkesannya zikir pada jiwa.”
31.  “Wahai anakku! Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.”
32. “Wahai anakku! Jangan engkau berlaku derhaka terhadap ibu dan ayahmu dengan apa jua sekalipun, melainkan apabila mereka menyuruhmu derhaka kepada Yang Maha Berkuasa.”
33. “Wahai anakku! Allah mewasiatkan dirimu; berbuat baiklah dengan ibu dan ayahmu. Justeru, jangan engkau mengherdik mereka dengan perkataan mahupun perbuatan dibenci.”
34. “Wahai anakku! Seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang kamu lakukan, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.”
35. “Wahai anakku! Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah SWT, maka dia tawadduk kepada Allah SWT, dia akan lebih dekat kepada Allah SWT dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah SWT.”
36. “Wahai anakku! Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar.”
37.  “Wahai anakku! Andainya ada sebutir biji sawi terpendam di dalam batu, pasti ketahuan jua oleh Tuhanmu Yang Maha Melihat, Allah Amat Mengetahui segala sesuatu, zahir mahupun batin atau apa yang engkau sembunyikan di dalam dadamu.”
38. “Wahai anakku! Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.”
39. “Wahai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu adalah bilamana engkau mempunyai jiran yang jahat.”
40. “Wahai anakku! Aku pernah memindahkan batu-bata dan memikul besi, tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih berat daripada hutang.”
41.  “Wahai anakku! Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.”
42. “Wahai anakku! Apakah tidak engkau perhatikan, apa yang Allah bentangkan bagimu apa-apa yang ada di langit dan di bumi daripada kebaikan yang amat banyak?
43. “Wahai anakku! Apa yang engkau menikmati di kehidupan ini lantaran kurniaan-Nya yang penuh keamanan, keimanan dan kebaikan yang melimpah ruah, di taman dunia yang subur mekar dengan bunga-bungaan serta tumbuhan yang berseri-seri.”
44. “Wahai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu.”
45. “Wahai anakku! Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan Allah SWT bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.”
46. “Wahai anakku! Jangan engkau buang dunia ini ke bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.”
47.  “Wahai anakku! Tidak ada kebaikan bagimu untuk mempelajari apa yang belum kamu tahu sedangkan kamu belum beramal dengan apa yang kamu tahu.”
48. “Wahai anakku! Ingatlah dua perkara iaitu Allah SWT dan mati, lupakan dua perkara lain iaitu kebaikanmu terhadap hak dirimu dan kebaikanmu terhadap orang lain.”
49. “Wahai anakku! Kehinaan dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWTlebih mendekatkan diri daripada mulia dengan maksiat (perkara menyebabkan dosa) kepada-Nya. Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab kematian datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih dulu.
50. “Wahai anakku! Sesungguhnya lama bersendirian itu dapat memahami untuk berfikirdan lama berfikir itu adalah petunjuk jalan ke syurga.”
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.

Read More...

Maksud Asal Nama Bulan-Bulan Islam




.
Allah Subhanahuwata’ala (سبحانه و تعالى) berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ‌ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ‌ شَهْرً‌ا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ مِنْهَا أَرْ‌بَعَةٌ حُرُ‌مٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِ‌كِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Taubah : 36)
.
Dua belas bulan yang disebut oleh Allah سبحانه و تعالى di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم  di dalam sebuah hadith yang telah diceritakan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم  memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata:
“Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jamada dan Syaaban.”(riwayat Imam Ahmad).
.
Bulan dalam bahasa Arab disebut “Al-Syahru” bermaksud bulan yang merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam Islam yang dipanggil bulan-bulan Hijriyah. Tarikh Hijriyah Islam yang pertama adalah bermula dari perisiwa Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  dan umat Islam berhijrah ke Madinah.
.
Kebanyakan nama tersebut berasal dari Bangsa Arab Tradisional yang diambil daripada cuaca semasa atau sesuatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar yang berlaku. Walau bagaimanapun, oleh kerana semua bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.
.
Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan telah dirasmikan penggunaannya oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah seperti berikut :
.

    Muharam ( محرّم)

Bulan ini mengambil perkataan “Haram” yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Rasulullahصلى الله عليه وسلم  meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
.

    Safar (صفر)

Safar adalah bulan ke-2 dalam bulan Islam. Safar diambil dari kata “shifr” yang bermaksud ‘sifar’ atau ‘kosong’. Rumah menjadi kosong kerana penduduk Arab Badwi ketika itu keluar dari kampung meninggalkan rumah mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.
Perkataan Safar juga bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin.
.

    Rabiulawal (ربيع الأول)

Rabiulawal merupakan bulan Islam yang ke-3. Rabiulawal bermakna bulan pertama musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mula menghijau dan tumbuhan mengeluarkan bunga.
.

    Rabiulakhir (ربيع الآخر/ ربيع الثاني)

Rabiulakhir merupakan bulan Islam yang ke-4. Rabiulakhir bermakna bulan kedua musim bunga iaitu waktu ini pokok dan tumbuhan telah sampai ke kemuncak mengeluarkan bunga.
.

    Jamadilawal (جمادي الأول)

Jamadilawal (Jamada al-Awwal) merupakan bulan ke-5. Bulan pertama musim panas. Perkataan “Jamada” bermaksud kering, di mana bulan ini merupakan musim kemarau yang bermula pada bulan Jamadilawal dan berakhir pada Jamadilakhir.
.

    Jamadilakhir (جمادي الآخر / جمادي الثاني)

Jamadilakhir (Jamada al-Akhir) merupakan bulan ke-6. Bulan kedua musim panas. Jamadilakhir merupakan musim kemarau yang akan berakhir keadaan bulan ini juga lebih sejuk daripada sebelumnya yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
.

    Rejab (رجب)

Rejab adalah bulan ke-7. Rejab bermaksud mengagungkan dan membesarkan. Bulan ini salah satu bulan yang dihormati dan pintu Ka’bah dibuka. Menurut sejarahnya, bulan Rejab dimuliakan orang Arab dengan menyembelih anak unta pertama dari induknya.
Rejab juga merupakan satu lagi bulan suci yang diharamkan perlawanan atau peperangan dilarang berperang.
Ia dikenali juga sebagai ‘Rajab Al-A’sham’ (Rajab yang sunyi) dan ‘Rajab al Fard’. Fard bermaksud keseorangan atau bersendirian kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab terasing di tengah-tengah.
.

    Syaaban (شعبان)

Bulan Syaaban terbit dari perkataan “sya’bun” yang ertinya ‘kelompok’ atau ‘golongan’ dan“syu’ba” yang bermaksud berpecah, menyimpang dan berselerak. Masyarakat Arab terdahulu keluar bertebaran dan berpecah secara berkelompok setelah terpaksa berkurung di rumah ketika bulan Rejab yang kering.
Pada bulan Syaaban ini juga, mereka keluar beramai-ramai berselerak dan berpecah mencari air dan bekalan makanan.
.

    Ramadhan (رمضان)

Ramadhan merupakan bulan ke-9 dalam kalendar Islam. Diambil daripada perkataan “ramda”, yang bermaksud batu panas. Ia juga bererti terik atau terbakar, Ini menceritakan keadaan panas ketika nama tersebut diberikan. Kebiasaannya pada bulan ini, cuaca sangat terik dan amat panas di Semenanjung Arab ketika itu.
Dan setelah kemunculan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, bulan ini merupakan bulan puasa bagi umat Islam.
.

    Syawal (شوال)

Syawal merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata “syalat” yang bermaksud ‘mengangkat’ dan dari kata kerja ‘Tasyawwala’ yang bermaksud sedikit atau berkurangan. Syawal dinamakan sedemikian kerana bulan ini adalah musim di mana unta betina mengangkat ekor mereka kerana tidak mahu dikawini unta jantan dan musim ini juga di mana unta kekurangan susu kerana kebanyakan unta-unta betina bunting.
Manakakala setelah kedatangan Islam, Syawal merupakan bulan peningkatan kebajikan setelah melewati masa latihan pengendalian diri selama sebulan penuh dengan puasa Ramadan. Pada awal bulan Syawal, kaum Muslim merayakan Hari Raya Idul Fitri atau perayaan kemenangan melawan hawa nafsu.
.

    Zulkaedah (ذو القعدة)

Zulkaedah merupakan bulan ke-11. Perkataannya diambil daripada kata ‘Qa‘ada’ atau ‘al-qa’du’ yang bermaksud duduk. Pada bulan ini, masyarakat jahiliah mula menetap di rumah dan tidak melakukan peperangan kerana bulan ini merupakan awal dari tiga rangkaian bulan haram.
Inilah bulan suci ketiga yang diharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.
.

    Zulhijjah (ذو الحجة)

Zulhijjah adalah bulan ke-12 dan bulan terakhir dalam setahun Hijrah. Ini adalah bulan suci terakhir dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Bulan ini disebut Zulhijah (Az Zu al-Hijjah) yang bererti “yang empunya haji”. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan “haji” sebagai rujukan nama bagi bulan haji iniiaitu waktu masyarakat Arab sibuk mengerjakan ibadah haji ke Baitullah.
Pada zaman sebelum kedatangan Islam, bulan ini merupakan bulan untuk melakukan ibadah haji ke Makkah (Kaabah). Setelah kedatangan Islam, ibadah haji masih tetap dilaksanakan pada bulan Zulhijjah iaitu pada tarikh 8, 9 dan 10 Zulhijjah.
.
.
Berdasarkan makna setiap bulan yang dinyatakan, pastinya masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Muslim yang cemerlang tidak akan memilih bulan tertentu untuk beribadat kepada Allah سبحانه و تعالى. Seseorang itu perlulah sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala suruhan dan perintah Allah سبحانه و تعالى pada setiap masa dan keadaan sehinggalah dijemput menghadap Allah سبحانه و تعالى kelak.
Maka marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran dan doa kepada Allah سبحانه و تعالى atas kesempatan diberikan peluang hidup untuk sekian kalinya. Seterusnya kita perlu persiapkan diri dengan berazam dan melakukan hijrah bagi menghadapi permulaan Awal Muharamdan tahun baru ini demi perubahan untuk menghadapi ibadah berkualiti dan kehidupan mukmin sejati di tahun-tahun mendatang. InsyaAllah.
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Read More...