Saturday, May 25, 2013

Hidup Umpama Putaran Roda


Ujian itu datang,
semalam, hari ini dan semestinya esok,
kerana itulah dia kembarnya hidup,
tidak akan terpisah hingga ke dalam tanah aku terperusuk.

Penat, letih, sedih, duka,
kadangkala terasa itu sahajalah warnanya,
tiada yang memahami,
setiap langkah pasti akan ada yang menguji,
entah berapa kali berfikir diri patut berhenti,
dan sekadar menjadi penerima bukan lagi pemberi.

Tetapi keimanan itulah yang bersinar menerangi hati,
yang sentiasa menaikkan semula percaya kepada Ilahi,
Usaha itu akan terus, dan akan menerus,
mustahil berhenti kerana itu bukan tanda percaya kepada Ilahi.

Usaha itu akan terus,
kerna nanti akan tiba masanya,
bila hati pasti akan menjamah gembira,
bila jiwa akan bahagia selama-lama,
dan bibir akan dihiasi senyum dan tawa,
di syurga Dia bersama mereka yang percaya,
selepas hari demi hari kita lalui,
ujian memendungkan hidup kita.

Usaha itu akan terus,
dan kita tidak akan berhenti,
hingga kita mencapai apa yang sebenarnya kita mahu,
itulah dia redha dan Syurga Ilahi.

Biar nanti kita berdiri tinggi di dunia,
hingga mampu menjejak langit,
dan memandang semua dengan menunduk,
berpuas hati kerana memilih untuk berusaha terus,
dari melukut menghentikan ruku' dan sujud.
Read More...

Etika Doktor Dan Pesakit Menurut Pandangan Islam



Dewasa ini, ramai orang memerlukan doktor, disebabkan berbagai faktor yang diambil kira. Di tambah lagi manusia semakin ramai, dunia semakin maju dan canggih. Kemungkinan untuk terkena kepada penyakit adalah amat tinggi.
Faktor-faktornya amat banyak seperti makanan yang banyak kandungan bahan kimia, udara yang tidak elok untuk pernafasan, kesan-kesan asap rokok, kenderaan, kilang, penularan wabak-wabak penyakit yang pelik dan berbagai lagi faktor yang membolehkan seseorang itu terdedah dan terkena kepada penyakit.
Pendek kata, semua manusia di dunia hari ini berhajat kepada doktor untuk membuat rawatan atau sebagainya. Oleh itu, jika ramai yang sakit, sudah pasti permintaan terhadap doktor amat tinggi.
Maka hal ini telah menjadi masalah kepada kaum perempuan yang ingin mengambil rawatan dengan doktor lelaki, kerana doktor wanita tidak mencukupi. Begitu juga sebaliknya. Apabila pesakit lelaki meminta rawatan daripada doktor perempuan, kerana terhadnya doktor lelaki di tempat-tempat yang tertentu.
Oleh sebab masalah ini amat penting, kerana ia melibatkan diri dan kesihatan insan. Maka syariat ada memberi kelonggaran yang luas dalam perkara ini.
Para ulama telah sepakat bahawa boleh bagi doktor untuk melihat tempat sakit perempuan. Misalnya, perempuan sakit di bahagian perut, maka doktor hanya boleh merawat dan melihat di kawasan perut sahaja, selain daripada itu, haram bagi doktor untuk melihatnya.
Para ulama telah sandarkan perkara ini kepada hadis Nabi SAW, tatkala Ummu Salamah meminta izin kepada Nabi SAW untuk rawatan bekam. Maka Nabi SAW menyuruh Abu Toibah merawatnya.
Nabi SAW berkata,
أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحِجَامَةِ ، فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجِمَهَا
Maksudnya: “Bahawa Ummu Salamah telah meminta izin kepada Nabi SAW untuk rawatan bekam, maka Nabi SAW menyuruh Abu Toibah merawatnya.”
(Direkodkan oleh Muslim, no. 2206)
Maka berdasarkan hadis sahih ini, para ulama telah memberi hukum bahawa boleh bagi perempuan yang sudah atau belum baligh, dirawat oleh doktor lelaki yang bukan mahram. Namun para ulama ada meletakkan garis-garis panduan semasa melakukan rawatan, yang mana jika panduan itu tidak dilaksanakan, maka akan jatuh kepada hukum haram.
Dalil yang kedua adalah berdasarkan dalil daripada ijmak iaitu kesepakatan semua para ulama tanpa terkecuali. Semua para ulama tidak ada yang terkecuali mengharuskan bagi wanita ajnabi yang sudah baligh dirawat oleh doktor lelaki. Namun, dalam rawatan tersebut, para ulama ada menggariskan beberapa panduan penting yang mesti dipatuhi.
Dalil yang ketiga adalah daripada akal, iaitu hukum asal bagi melihat perempuan ajnabi ialah wajah dan tapak tangan. Namun apabila terjadinya keadaan yang darurat seperti sakit, maka lelaki atau doktor lelaki boleh merawatnya jika ada kemampuan untuk merawat. Hukum haram akan bertukar menjadi harus apabila dalam keadaan yang benar-benar darurat.[1]
Selain itu, apabila hanya dibenarkan untuk melihat kawasan yang sakit. Sudah pasti tidak akan terasa syahwat apabila melihat kawasan yang sakit tersebut. Maka tidak menjadi masalah untuk doktor lelaki melihat kawasan yang sakit sahaja, tanpa melihat kawasan yang tidak sakit.[2]

Antara panduan-panduannya yang mesti dipatuhi ketika sesi rawatan ialah:
1) Ketika melakukan sesi rawatan dengan doktor lelaki, perempuan tersebut mestilah ditemani oleh mahramnya, atau suaminya, atau perempuan yang boleh dipercayai seperti sahabat karib misalnya.
Jika perempuan tersebut hadiri seorang diri sahaja. Maka tidak boleh lakukan rawatan, kecuali jika dalam keadaan terlalu darurat. Contohnya seorang perempuan ditikam di bahagian perut, pada waktu itu tidak ada sesiapa. Maka boleh doktor lelaki terus memberi rawatan di bahagian-bahagian yang berkaitan sahaja.
Perkara ini amat penting untuk kita jadikan panduan. Hal ini kerana, banyak kita mendengar di media-media massa bahawa ramai doktor mengambil kesempatan terhadap pesakit wanita. Jika kita dengar di luar negara seperti negara China, kita akan dengar ramai pesakit-pesakit wanita dirogol ketika sesi rawatan.
Justeru, untuk mengelak atau jauhkan daripada perkara-perkara yang sebegini. Langkah-langkah awal perlu diambil iaitu seperti membawa mahram iaitu seperti ibu bapa, abang, adik atau kakak, atau membawa suami, atau membawa perempuan yang dipercayai. Maruah dan kemaluan amat penting untuk dijaga sebaiknya.

2) Disyaratkan juga bahawa tiada doktor perempuan yang setaraf dengan ilmu doktor lelaki yang merawat. Hal ini jika terdapat doktor perempuan di tempat rawatan tersebut, mungkin doktor perempuan itu bukan daripada bidang bedah. Sedangkan doktor lelaki pakar dalam bidang bedah, maka rawatan itu perlu diberi kepada doktor lelaki.
Hal ini kerana, pada hari ini, doktor ada bahagian-bahagian kepakarannya tertentu. Mungkin di tempat tersebut ada doktor lelaki dan perempuan. Oleh itu, untuk tidak salah faham, pesakit perempuan tersebut perlu dirawat berdasarkan bidang doktor. Jika ada doktor lelaki yang boleh merawat, sedangkan doktor perempuan ada, tapi bukan bidangnya. Maka yang perlu merawat pesakit perempuan tersebut adalah doktor lelaki.
Namun, jika ada seorang doktor perempuan yang pakar bedah dan seorang lagi doktor lelaki yang pakar bedah, maka diutamakan doktor perempuan. Tidak perlu lagi kepada doktor lelaki tersebut. Sekiranya rawatan itu memerlukan dua orang doktor, maka kedua-dua doktor tadi boleh merawat pesakit perempuan tersebut.

3) Mengutamakan Doktor yang Muslim daripada doktor yang bukan Muslim, kerana hukum asal bagi keringanan ini hanyalah dibenarkan pada doktor Muslim sahaja. Namun, jika tiada doktor Muslim, maka tidak mengapa pergi kepada doktor yang bukan Muslim.[3]

4) Diwajibkan merawat hanya pada tempat yang sakit atau kawasan yang berkenaan sahaja. Misalnya, jika pesakit perempuan sakit di bahagian betis kaki, maka doktor lelaki itu hanya boleh melihat dan merawat di kawasan itu sahaja. Selain daripada itu adalah tidak dibenarkan.
Ini sebenarnya, sesuai dengan kaedah usul yang telah diberikan oleh para ulama apabila menghadapi keadaan yang sukar dan darurat iaitu,
الضرورة يقدر بقدرها
Maksudnya: “Darurat diambil sekadar keperluan sahaja.”
الضرورة تبيح المحظورات
Maksudnya: “Darurat mengharuskan yang haram.”
Justeru, menggunakan atau manfaatkan perkara yang haram melebihi kadar keperluan di kala waktu darurat adalah berdosa. Begitulah juga di dalam perubatan Islam, ketika waktu darurat dan kecemasan boleh digunakan ubat-ubat dan cara-cara yang haram, tetapi sekadar keperluannya sahaja.
Contoh keadaan darurat yang lain, semasa az-Zubair sahabat Nabi SAW sakit kulit dan gatal-gatal, maka Nabi SAW membenarkan beliau memakai pakaian sutera, sedangkan hukum asal bagi lelaki memakai sutera adalah haram.
Ketika ketiadaan langsung makanan, yang hanya ada daging khinzir, jika tidak makan boleh membawa maut. Maka dia boleh makan daging tersebut sekadar keperluan asas sahaja, tidaklah boleh makan sampai kenyang. Memadai memakan sekadar boleh meneruskan kehidupan. Maka begitu juga dalam hal ini, hukum lelaki melihat aurat perempuan adalah haram pada asalnya, kecuali ketika darurat sahaja.
Kata Imam Nawawi, “Perlu diketahui bahawa hukum asal bagi lelaki melihat perempuan ajnabi adalah muka dan kedua tapak tangan, itu sekadar hajat sahaja.  Jika melihat lebih daripada anggota tersebut, hajatnya juga bertambah, memang benar-benar perlu dilihat kawasan aurat tersebut. Namun, jika lihat pada bawah daripada pusat dan atas daripada lutut, maka amat memerlukan keadaan yang benar-benar darurat.”[4]
Namun mestilah diambil perhatian yang serius, bahawa kita tidak boleh bermudah-mudah sahaja menggunakan benda ataupun cara yang haram darurat (kecemasan) sebelum berikhtiar dan berusaha mencari yang halal dengan bersungguh-sungguh. Maka dalam hal ini, perlu juga berusaha mencari doktor-doktor perempuan yang boleh merawat penyakit yang dialami.

Hukum-hukum yang berkaitan dengan melihat aurat perempuan ketika sesi rawatan:
1) Jika pesakit memerlukan khidmat mengambil wuduk dan istinjak daripada doktor atau nurse-nurse yang bertugas. Maka mereka boleh melihat kawasan wuduk dan kawasan aurat mengikut kadarnya sahaja.
Namun, jika ada bawa mahram, suami, atau sahabat karib dari kalangan perempuan jika pesakit itu perempuan. Maka wajib orang di sampingnya itu yang melakukannya.

2) Jika perempuan itu sakit di beberapa tempat dan lebih dari satu tempat sakit. Kewajipan bagi doktor adalah merawat dan melihat di tempat yang sakit sahaja, tidak lebih daripada itu.
Namun perlu diingatkan, perempuan yang ingin meminta rawatan daripada doktor lelaki kerana berlaku darurat. Usahakan juga bawa bersama anda mahram dari keluarga terdekat, atau suami, atau sahabat karib dari kalangan perempuan yang dipercayai dan amanah.


[1] Badaae’ as-Sonaae’, 6/2962
[2] Aun al-Bari, 4/375
[3] Mughni al-Muhtaj, 3/133, al-Mughni, 7/26
[4] Kifayah al-Akhyar, hlm. 47
Read More...